Berpeluang ke
Pesta Buku Antarabangsa KL 2013 semalam bersama suami. Cadangnya suami saya hendak mencari satu set buku Tafsir Ibnu Khathir.
Dan isterinya pun, sebagai pembaca buku tegar tentu akan menyatakan pada suatu tika dahulu (2 atau 3 minggu lepas) bahawa si suami boleh mencari set tersebut di PBAKL yang akan berlangsung pada hujung bulan April.
Saya hanya akan pergi membeli buku bahasa Melayu apabila ada pesta buku sebegini. Sudahlah pengedar dan penjual buku berada di satu tempat, kemudian kita akan diberikan diskaun lagi di atas pembelian. Tambah menarik ada juga tambahan seperti beg kertas yang comel, penanda buku ataupun pen. Dan untuk memudahkan pergerakan, kami hanya pergi suami isteri tanpa membawa anak-anak. Dalam kesesakan begitu dan anak yang 4 orang, risau juga hendak membawa mereka.
Ini katalog buku PTS.. sangat comel macam majalah walaupun percuma. Bagi
Fateh dan A
mni tengok. Amni lagilah, dia kan suka membaca.
Semua buku latihan dibeli. Ingat hendak
pass ke rumah nenek mereka. Buat latih tubi dengan ibu sekali. Yang darjah 1 punya pun saya beli, sebab hendak ajar
Fahri. Fahri pun suka buku. Semalam dia tidur dengan buku gerak kerja ini. Sabar anakku. Hujung minggu nanti ibu ajar.
Buku yang dibeli di
booth Pustaka Al-Hidayah. Pernah membaca
Jangan Bersedih edisi bahasa Indonesia. Saya tidak suka edisi yang panjang-panjang, kerana buku asal
Dr. Aidh ini sebenarnya pendek dan sarat dengan mesej.
Dua buku lain milik suami. Sibuk memilih set Tafsir Ibnu Khathir, akhirnya dia hanya membeli T
afsir al-Munir untuk juz amma. Set di Pustaka Al-Hidayah banyak beza harganya dengan set yang dijual di ruang legar bawah. Memang agak murah.
Buku yang tidak disangka akhirnya berjumpa di booth
ITBM (Institut Terjemahan dan Buku Malaysia). Masya' Allah. Semasa kak
Nisah Haron, penulis sastera novel Melayu menyatakan adanya sebuah biografi wanita Melayu pada tahun 1950-an, saya sangat teruja. Cuma apabila saya bertanya kepada kak Nisah, kak Nisah menyatakan naskhah keluaran pertama buku ini hanya ada dua salinan. Satu di Perpustakaan Universiti Malaya dan satu lagi di British Library, London. Dan naskhah asal dicetak dalam setting typewriter font.
Terima kasih ITBM atas penerbitan semula ini. Saya sempat beli semasa happy hour (jam 10.30 - 11.30 pagi) dan mendapat diskaun 40%. Hanya tinggal 2 minit sahaja lagi sebelum habis happy hour apabila terpandang buku ini! Harga asal buku adalah RM25.
Dan saya habiskan bacaan buku ini semalam juga! Sangat teruja dengan travelog seorang wanita Melayu yang meninggalkan keluarganya untuk menyambung pelajaran pada tahun 1950-an di London. Antara cita-cita dan cinta. Travelog yang tidak meleret, namun sarat dengan isi.
Al-Fatihah kepada
Tan Sri (Dr.) Hajah Aishah Ghani yang telah meninggal dunia 2 minggu lepas. Nampaknya buku ini tidak akan ada sambungan lagi.
Semalam, balik dari rumah neneknya,
Fawwaz mula membaca komik
GempakStarz. Saya beli siri sains mengenai
Eksplorasi Tubuh Manusia. Ada 3 buah buku semuanya. Harga asal sebuah komik: RM 8.50. Bercampur juga dengan beberapa komik PTS serta buku membuat origami dan seni kotak untuk Fawwaz.
Dan akhirnya, pengedar buku
Humaira Bookstore menerbitkan komik pembangunan jiwa. Komik pertama dalam siri
33 Pesanan Nabi telah dinobatkan sebagai komik terbaik Indonesia pada tahun 2011. Harga RM 14.90 untuk sebuah komik.
Semua harga yang diletakkan adalah sebelum diskaun. Maka ketika Pesta Buku inilah anda akan dapat membeli dengan harga diskaun.
Buku Inggeris yang terbitan terbaru dan berunsur akademik banyak terdapat di PBAKL, namun saya sebagai pengumpul dan pembaca buku tidak kisah membeli buku edisi lama. Saya akan menunggu untuk siri jelajah
Big Bad Wolf untuk mengumpul buku bahasa Inggeris pula.