Wednesday, 13 July 2005

Ulasan buku: Advencer Si Peniup Ney

Aini baru saja menghulurkan buku-buku tulisan Faisal Tehrani kepada saya petang semalam. Lepas Maghrib, terus saja memilih buku dan saya bermula dengan Advencer Si Peniup Ney. Tepat jam 10.30 pagi ini, sudah habis saya menelaah helaian buku ini.

Komen saya?

Tulisannya lebih santai berbanding 1511H [Kombat], novel yang telah juga memenangi tempat pertama Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003. Sinis dan menusuk hati sekiranya anda adalah peminat fanatik Akademi Fantasia atau Malaysian Idol atau yang seangkatan dengannya.

Saya paling suka deskripsi konsert Fantasia dalam bab 8. Faisal pandai menggunakan penulisan menempelak segala macam aspek yang selalu ditontoni dalam konsert mingguan Akademi Fantasia atau konsert Malaysian Idol. Sungguh berhias katanya menjunam tepat apabila diciptakan 3 hakim (kebetulan?) dan komen-komen yang memang melucukan daripada 3 hakim itu.

Contohnya:
"Awak ni pesona bintang, pesona awan, best."
"Pitching tak kena di sana sini. Patutnya masa zindagi o itu awak lebih tarik suara dan tahan di perut, ini tidak."

Pernah dengar ayat-ayat di atas? Sinis kan? Tamparan hebat buat mereka yang fanatik budaya hedonisme.

Lalu Faisal memperkenalkan Ustaz Sulaiman Hilmi Kamal untuk memperkenalkan konsep keagamaan di dalam budaya muzik. Sungguh tergumam jadinya apabila saya dapat tahu nota muzik Barat do-re-mi adalah daripada tulisan pemikir Islam. Rupanya orang Barat menciplak bulat-bulat seni muzik Islam!

Lalu di dalam buku ini, saya mengenali tokoh-tokoh Islam yang memperkenalkan konsep muzik dalam Islam. Tak tersangkakan Ibnu Sina dan al-Farabi adalah pakar muzik Islam. Sungguh sampai terbeliak biji mata!

Souti sarmad pula diperkenalkan oleh Ustaz Sulaiman. Jin bertindik satu menempelak: Siti Nurhaliza atau M Nasir pun tidak memperkenalkan genre ini, adakah ianya world music?

Saya pernah terbaca di dalam satu majalah bahawa tarian berpusing yang dilakukan oleh orang Turki untuk menunjukkan kecintaan terhadap Allah disertai zikir dan tasbih. Tak tersangkakan Faisal boleh menerapkannya dalam persembahan Ustaz Sulaiman dan rakan-rakannya itu.

Panjang lagi ceritanya.. sungguh! Kalau mahu ditelusuri, cerita Yusuf a.s. dan Zulaikha pun diselitkan. Malahan cerita berdakwah kepada penduduk di dalam laut pun ada!

Saya? Saya berharap buku ini dibaca agar mereka yang mengagungkan budaya hedonisme sedar akan tanggungjawab mereka bahawa kelazatan muzik itu adalah kerana Allah Yang Satu. Pendekatan yang sangat menarik untuk belia kita.

0 musings:

Post a Comment