Monday, 29 August 2005

Ulasan buku: Tunggu Teduh Dulu

Lepas sudah membaca buku ini, bila ajak suami makan buah mangga atau epal yang sudah dipotong, saya asyik tersasul menyebut 'betik'. Entah berapa kali tersasul, gara-gara penangan betik di dalam novel ini.

Tunggu Teduh Dulu pertama kali saya baca dipinjam daripada Ieka. Tapi semangat saya tidak kuat, tak sampai mukasurat 100.. saya kena berhenti dulu kerana Amni sibuk hendak membaca bersama saya.

Kemudian Aini meminjamkan kepada saya bukunya, selepas tergendala selama 6 bulan. Saya berjaya menghabiskannya dengan bayangan betik yang sungguh manis dan enak melambai-lambai. Ahh, kecur air liur bila dibayangkan betik yang sudah masak, isinya merah oren keranuman dan rasanya yang kelat-kelat manis.

Itulah penangan Tunggu Teduh Dulu. Cerita ini sungguh biasa, tetapi, bak kata Aini, diluarbiasakan kerana kecintaan terhadap Allah yang Maha Esa. Ini memang sungguh cerita kecil, cerita Salsabila Fahim yang belajar berteduh dulu di muka bumi Allah ini, dan ditimpa pelbagai konflik kehidupan. Ini cerita ketabahan Salsabila dibantu rakan baiknya, Teh Sofia untuk menjadi petani moden, di tengah arus pembangunan dan kemodenan yang sungguh rakus menarah bukit dan membongkar hutan.

Dan betik telah menjadi objek utama dalam kisah ini, di mana jerit perih Salsabila dalam kehidupannya berlatarkan ladang betik yang dibangunkannya di atas tanah pusaka arwah ayahnya. Ini cerita cinta kepada Allah, dan cinta antara manusia, serta cinta terhadap alam.

Adegan menarik yang saya suka? Tentulah gambaran yang dilakarkan oleh penulis ketika Salsabila dan ibu tirinya melakukan ziarah di Madinah dan umrah di Mekah. Terbayang diri saya bersama mereka, menjawab panggilan Allah untuk ke tanah suci!

Faisal Tehrani berjaya menyelami isi hati wanita. Itu yang saya kagum. Seorang penulis lelaki berjaya menulis dengan penuh rasa hati perasaan sang wanita.

Tapi saya kira cerita ini sungguh tergantung. Sesiapa yang mengikuti novel ini ketika pertama kali disiarkan di suratkhabar Utusan mungkin berasa sangat kecewa dengan penghabisan yang menimbulkan banyak tanda tanya.

Encik Faisal, saya cadangkan cepat-cepatlah Encik Faisal merangka Tunggu Teduh Dulu II. Saya akan jadi orang pertama yang membelinya. Kalau kekeringan plot, saya boleh bantu.. hihi:

-Sambunglah cerita Mimi, balu kepada adik Salsabila, Shahruzzaman. Apa yang sudah terjadi padanya?
-Adakah Salsabila dan suaminya, Sazli diancam oleh pengutip hutang untuk mengutip hutang arwah Shahruzzaman?
-Bagaimana Mimi membesarkan Rabiatul Adawiyah, anak tunggalnya?
-Berjayakah Mimi membuka restoran di Afrika berasaskan betik?
-Apa jadi pada Lam Ping Hai @ Saifullah dan Kamil yang pada mulanya merebut cinta Salsabila?

Dan mungkin cerita Salsabila di novel ini, dijadikan watak kedua sebagai perencah untuk mencantikkan cerita.

Ok, sesiapa yang sudah membaca novel ini, boleh anda sambung plot untuk Tunggu Teduh Dulu II? *wink*

0 musings:

Post a Comment