Wednesday, 28 September 2005

Ulasan buku: Pemburu Mimpi

Bila sudah asyik membaca karya Faisal Tehrani dan Ahmad Patria Abdullah, maka hati ini sering membandingkan tulisan mereka dengan karya Saleha Hussin dalam novel Pemburu Mimpi.

Saya tidak bersemangat membaca buku ini sehingga terjumpa tuan empunya buku dalam LRT dan Ieka dengan ringkas mengatakan "Kau akan terkejut endingnya lain daripada permulaan cerita." Lalu pantas sahaja menghabiskan masa membaca buku ini.

Konklusinya, saya tidak begitu gemar novel ini. Mungkin kerana bagi saya ada ceritanya yang terlalu meleret-leret sehingga saya merasakan rentak penulis ini seperti meniru gaya Norhayati Berahim yang asyik berkias mengenai cinta (saya tidak minat Norhayati Berahim). Tapi ada satu kisah yang menarik hati saya, kisah Halina yang ringkas tetapi padat. Walau bagaimanapun, saya mungkin perlu menerima hakikat gaya penulis ini tidak menekankan aspek agama.

Saya unjurkan ulasan buku yang dikongsi bersama rakan-rakan seonline lain di ruang Books and Literature

Tajuk Buku: Pemburu Mimpi
Penulis: Saleha Hussin
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Dibeli Di: Pinjam dari rakan

Watak-watak utama:
1. Dr Hamimah
2. Hayati
3. Halina
4. Ariff

Tentang Apa Buku Ini:

Buku ini menceritakan mengenai ketabahan anak-anak perempuan Hendon di mana mereka ditinggalkan oleh bapa mereka, Johan dan terus-menerus berjuang untuk kehidupan. Bapa mereka berkahwin lain kerana hendak meneruskan zuriat dengan adanya anak lelaki. Bagi Johan, anak perempuan merugikan dan tidak membawa apa-apa faedah dalam kehidupan.

Apa Yang Saya Suka:

Buku ini mempunyai pelbagai cerita mengenai anak-anak Hendon dan menfokus mengenai kehidupan mereka.
Kisah Halina yang ringkas tetapi jalan ceritanya padat dengan unsur-unsur yang tidak dijangka.
Perjuangan Dr Hamimah dalam politik dan isu-isu berat yang dibangkitkan sepanjang perbincangan politiknya.

Apa Yang Saya Tidak Suka:

Kisah cinta Hayati dan Ariff yang terlalu meleret-leret menyebabkan saya naik muak dengannya.
Penulis juga terlalu berdeskripsi tentang sesuatu perkara (seperti jenama kereta, baju etc) sehingga saya rasakan buku ini seperti tidak berpijak di bumi nyata. Hanya golongan aristokrat sahaja yang digambarkan dalam buku ini.
Cerita hubungan Johan dan anak-anaknya tidak dikupas dengan mendalam dan hanya berlaku di awal cerita sahaja.

Kalau Anda Suka Baca Buku Ini, Anda Mungkin Suka Baca Buku-Buku Lain:

tiada cadangan

0 musings:

Post a Comment