Monday, 5 September 2005

Ulasan buku: Seruan Dari Kaabah

Saya habis membaca buku 'Seruan Dari Kaabah' tulisan Ustaz Daud Che Ngah, bekas Pengurus Besar (Bimbingan Haji), Tabung Haji semasa cuti Merdeka. Buku itu dijumpai suami semasa kami di kampung halaman.

Kompilasi cerita yang ditonjolkan Ustaz Daud adalah ringkas dan setiap cerita memberi pengajaran. Oh, ceritanya bukan mistik seperti paparan majalah Mastika itu. Tetapi ceritanya adalah cerita biasa yang boleh membawa keinsafan kepada diri kita. Himpunan kisahnya menyindir artis yang menunaikan umrah kerana ingin glamour, atau kisah seorang guru yang menyimpan duit dengan berkat untuk naik haji ataupun cerita sepasang suami isteri yang ambil mudah mengenai kursus umrah (terlalu sibuk untuk ke kursus!) sehingga terpaksa membayar dam sehingga RM5000. Itu pun, selepas pasangan suami isteri tersebut balik ke Malaysia, baru diketahui segala umrah yang dilakukan tidak sah!

Ustaz Daud memang berpengalaman mengadakan kursus haji selama 20 tahun. Kompilasi cerita ini memang amat sesuai dijadikan iktibar untuk mereka yang memperlekeh pantang-larang haji dan umrah.

Catatan saya ringkas sahaja mengenai buku ini. Jangan harap tulisan seperti dalam Mastika yang membawa cerita pelik dari Mekah, cuma harapkan cerita biasa yang sebenarnya memberi pengajaran untuk kita mendalami ilmu agama.

0 musings:

Post a Comment