Monday, 17 December 2007

Ulasan buku: Ketika Cinta Bertasbih 2

Saya sebenarnya ternanti-nanti sambungan Ketika Cinta Bertasbih 1. Rasa terseksa jiwa apabila buku pertama tergantung tanpa menyudahi kisah Khairul Azzam, si penjual tempe dan bakso yang menghabiskan 9 tahun di Cairo untuk menyudahkan S1-nya.

Apabila seorang adik memberitahu bahawa buku Ketika Cinta Bertasbih 2 sudah keluar di pasaran Indonesia, saya jadi sangat teruja! Ketika itu, harapan tinggal harapan untuk mendapatkan senaskah buku KCB2 apabila saya mendapat tahu, hari pertama KCB2 diterbitkan di sana, sudah sold out.

Apalah lagi yang diharapkan? Disebabkan masyarakat Islam Indonesia di sana sangat besar, dan Habiburrahman El-Shirazy menyajikan kami dengan sebuah kisah Islamik yang penuh penghayatan. Saya tidak terkejut dengan sambutan sebegitu. Malahan, penulis fenomenal Ayat-ayat Cinta ini telah menandingi jualan Harry Potter di Indonesia (AAC diulang cetak sebanyak 24 kali!).

Saban hari menelefon sebuah toko buku yang mengimport buku-buku dari Indonesia untuk mengetahui status stok KCB2. Itu pun selepas seorang rakan memberitahu, KCB2 sudah masuk pasaran Malaysia. Saya kira, tidak ramai yang teruja seperti saya untuk mendapatkan buku tersebut. Habiburrahman tidak semasyhur JK Rowling atau JRR Tolkein yang didambakan oleh ramai peminat.

Menanti buku KCB2 seperti menunggu bulan jatuh ke riba gamaknya. Akhirnya, Selasa lepas saya pergi juga ke toko buku itu selepas tuan toko buku mengesahkan stok KCB2 sudah tiba. Sampai di sana, saya terpaksa berebut dengan 2 orang Muslimat Indonesia untuk mendapatkan 2 naskah buku KCB2. Muslimat itu mungkin agak terkejut dengan saya, apabila terus sampai di toko, saya terus menanyakan tentang buku itu di kaunter tanpa dolak-dalik lagi. Harus saya berbuat begitu kerana buku KCB2 hanya ada beberapa naskah di kaunter.

Sampai sahaja di pejabat, saya terus membaca. Begitulah terujanya saya dengan novel KCB2.

Harus diingatkan KCB2, settingnya bukan di Cairo seperti buku KCB1, tetapi di Indonesia. Jadi, haruslah kita lupakan kisah Fadhil dan cintanya yang tidak kesampaian. Atau kisah Hafez yang ingin menyunting adik Fadhil, Cut Mala.

Buku ini sebenarnya dilihat melalui kacamata mereka yang sudah kembali ke Indonesia seperti Khairul Azzam, Anna Althafunnisa dan Furqan.

Ternyata, penulis pandai menyambung rentak yang tidak berkesudahan di KCB1. Azzam hanya muncul dalam KCB2 bermula dari Bab 7. Bab-bab awal, dilihat melalui kacamata Ayatul Husna, adik Azzam dan Anna Althafunnisa. Pembaca akan mengetahui kerinduan yang dialami oleh keluarga Azzam yang menanti abang mereka kembali ke Indonesia selepas 9 tahun si abang berlelah dengan susah payah di Cairo untuk menyekolahkan adik-adiknya. Dan seperti ditulis sebelum ini, ramai menyangka Azzam hanyalah mahasiswa yang hanya menjual tempe atau bakso dan tidak lulus-lulus S1-nya.

Ada beberapa kejadian yang tidak dijangka berlaku. Penulis merungkaikan sebab kematian bapa Azzam. Ayatul Husna, adik Azzam diberikan ruang dalam kisah ini untuk berkembang. Azzam, seperti yang dijangka, dengan semangat keusahawanannya, akan terus berusaha sendiri untuk maju dan tidak mengharapkan kerja di syarikat-syarikat besar. Sebuah kisah teladan, si kambing dan si singa menyebabkan saya rasa tertampar kerana saya merupakan si kambing, bukan si singa yang bangga dengan jati diri dan mengenal potensi diri sendiri.

Ini bukan sekadar kisah cinta, malahan lebih dari itu. Pandai penulis menulis dengan susur galur supaya kita mengenal dan belajar Islam. Didampingi perdebatan Azzam dengan adik-adiknya, atau pengisian kitab Al-Hikam yang dijelaskan oleh Azzam di masjid.

Akhirnya, ini mungkin satu spoiler: Hati saya terasa sangat berbunga-bunga apabila mengetahui Anna bernikah dengan Azzam.

Tapi, jangan dijangka perjalanan untuk menuju ke happy ending ini sangat mudah.
KCB2 ternyata lebih hebat daripada KCB1!

*
Oh ya, bagi mereka yang ingin mengetahui kisah di sebalik filem 'Ayat-Ayat Cinta', bolehlah ke catatan si pengarah: Kisah di Balik Ayat-ayat Cinta

0 musings:

Post a Comment