Saturday, 31 May 2014

Ulasan buku: Ratu Yang Berani

Tajuk buku: Ratu Yang Berani
Penulis: Zainun Mustapha
No. ISBN: 9789674301910
No. resit ITBM: ITBM02000847 29/4/2014 11:48 AM


Ternyata, buku-buku di bawah siri Didik Ria tidak mengecewakan. Saya membeli buku bertajuk Ratu Yang Berani nukilan Zainun Mustapha untuk anak-anak mengetahui tentang kisah dongeng rakyat Malaysia. Ya, negara kita sungguh kaya dengan sejarah dan cerita.

Buku ini mengisahkan tentang keberanian Permaisuri Munira Sari. Sang permaisuri, yang menjadi balu akibat kemangkatan Sultan memegang tampuk pemerintahan negeri Nilam Purnama. Baginda memegang wasiat Almarhum Sulran, dan di bawah pemerintahan sang permaisuri yang bijaksana, ternyata Nilam Purnama menjadi semakin makmur.

Kehadiran seekor gergasi yang tinggal di Gunung Gelanggar menggemparkan rakyat Nilam Purnama. Lantas, Datuk Bendahara bersembah dengan menyatakan beberapa pendapat kepada Permaisuri Munira Sari untuk menyelamatkan nyawa rakyat jelata yang ketakutan. Sang permaisuri bijak berdiplomasi dengan memerintahkan agar para pemuda Nilam Purnama dikumpulkan dan dilatih dengan ilmu pertahanan diri. Hasil latihan tersebut, lahirlah ramai hulubalang muda yang bersiap siaga untuk mempertahankan keselamatan Nilam Purnama.

Hasil taktik serang hendap Permaisuri Munira Sari, ternyata baginda dapat menumpaskan sang gergasi yang membunuh ramai rakyat jelata. Sang gergasi ternyata termakan dengan muslihat sang permaisuri dan terperangkap. Sang gergasi akhirnya berjanji untuk keluar dari negeri Nilam Purnama dan tidak membunuh manusia.

Usai menutup buku ini, saya sedar bahawa ilustrasi buku ini terutamanya watak Permaisuri Munira Sari, adalah seperti terinspirasi dari patung wayang kulit (sebuah persembahan seni yang sangat terkenal di Kelantan).

Sebuah kisah rakyat yang mengesankan tentang keberanian dan kebijaksanaan seorang pemerintah. Kisah ini secara keseluruhannya mengangkat dan meraikan martabat wanita. Watak sang permaisuri digambarkan seorang intelek dan berfikiran rasional dalam membuat keputusan. Dibantu oleh para penasihat, ternyata buku ini menerapkan nilai murni terutamanya bekerja secara berkumpulan (sebagai contoh; berlatih bermain alatan perang) dan bermesyuarat sebelum mencapai sesuatu persetujuan (contoh: perbincangan sang permaisuri dan Datuk Bendahara).

Amatlah saya galakkan anak-anak untuk membaca buku ini kerana unsur-unsur nilai murni yang diterapkan di dalam penulisan dan lukisan

0 musings:

Post a Comment