Tuesday, 19 May 2015

Roti bakaq teloq meleleh

Pagi-pagi sudah pergi sarapan di sebuah gerai berdekatan taman. Siap dengan baju Melayu, Faiq tolong temankan. Walaupun sudah bertahun jadi penduduk di sini, nampak sangat kami bukan jenis yang suka mencari tempat makan. Itu pun sebab suami singgah makan di sini selepas kursus jenazahnya (dia gali lubang kubur pada hari kejadian).

Ini baru betul roti bakar special. Tengok saja menu, semua jenis roti bakar telur disediakan. Kalau di pejabat, hanya ada satu jenis sahaja.. Mogok kejap dengan roti bakar telur di office.

Faiq sekadar aksesori dalam gambar. Sila fokus kepada menu ya :)

Kami pesan roti bakar telur dengan keju. Sedapnya, sedapnya. Harganya pun murah - dalam RM 3. Insya' Allah, boleh datang gerai ini lagi. Terletak bersebelahan jalan di antara Taman Bukit Pertama dan Taman Seri Gombak.

Rupanya, banyak juga cawangan kedai roti bakar telur ini.

Ini pula Fahri tengah makan nasi kenduri. Tapi itu cerita dua minggu lepas. Seorang kakak usrah saya berkahwin, alhamdulillah.

Ya, rahsia kehidupan yang sangat unik. Bertemu jua jodohnya walaupun di umur 30-an. Moga kalian bersama di syurga (aminkan juga untuk kami).

Monday, 11 May 2015

Balik kampung

Hujung minggu yang panjang sempena Hari Pekerja dan Hari Wesak digunakan oleh kami untuk balik ke kampung. Sudah lama tidak balik ke Melaka, kerana ibu bapa mertua pun sudah berpindah ke Cheras. Lalu kesempatan ini digunakan untuk anak-anak berehat seketika, walaupun perlu membuat kerja sekolah semasa cuti.

Semasa diminta Fawwaz buat kerja sekolah, dia boleh berkata, "Tak bestlah balik kampung macam ni." Kerja sekolah pula bertimbun-timbun, kalau tidak disiapkan bukankah mengundang marah cikgu? Aduhai anak.

Minggu ini mereka akan menghadapi peperiksaan pertengahan tahun. Keputusan Fawwaz untuk ujian bulanan lepas agak teruk, dan sehabisnya perlu diajar dan dipaksa membuat latihan. Hujung minggu baru ini pun, kami tidak ke mana kerana anak-anak perlu belajar.

Oh berbalik pada topik Melaka, kami ke pusat membeli-belah yang baru dibuka, The Shore. Memasuki Oceanarium di tingkat 2, harga tiket kanak-kanak dalam RM 18 dan dewasa RM 28.





Alhamdulillah, anak-anak berseronok di Melaka. Pada masa yang sama, this is the long break that I have awaited after being too hard for myself at work.

Wednesday, 6 May 2015

Membaca dan pesta buku

April membawakan pelbagai berita untuk saya. Antara acara yang dinanti, adalah Pesta Buku. Dan biasanya, saya akan mengambil cuti. Semasa inilah dapat buat stock take untuk buku kerja anak-anak. Tarikan pesta buku adalah penerbit buku berada di suatu kawasan. Mudah pula hendak mencari gerai-gerai mereka.

Kalau jejak kaki ke sini, pertama sekali, kami akan ke kaunter pertanyaan. Disebabkan saya dan Aini sudah ada senarai gerai yang hendak dituju, maka kami akan mendapatkan peta lokasi di kaunter. Pada masa yang sama, saya akan bertanya di mana gerai-gerai tersebut. Memudahkan kerja dan menjimatkan masa.

Tahun ini, seperti biasa akan singgah di ITBM, Sasbadi dan seangkatan dengannya. Singgah juga di gerai Dewan Bahasa dan Pustaka.

Aini merancang untuk singgah di ITBM dahulu, dan kami sanggup tunggu jam 10.30 pagi untuk membuat bayaran kerana ada happy hour sale! Semua buku ada potongan 40%, untuk terbitan baru potongan dalam 20%. Yang menariknya, buku-buku umpama coffee table books menjadi sangat-sangat murah. Sempat juga membeli beberapa antologi cerpen.

Kenapa ya ITBM menjadi pilihan? Olahan bahasa yang bagus, serta penggunaan bahasa Malaysia tinggi.

Buku-buku pilihan di gerai DBP

Buku kanak-kanak terbitan DBP.
Ternyata singgah di gerai DBP menjentik banyak kenangan. Majalah Dewan Pelajar dan Dewan Siswa masih utuh. Harganya masih mampu milik. Saya rindukan buku Bahasa Malaysia yang tulisannya teratur dan menepati ciri-ciri perbendaharaan serta kosa kata. Membesar dengan buku DBP ternyata memperkayakan bahasa ibunda.

Singgah juga membeli di sini karya kanak-kanak.

Di gerai CESB, ada terbitan baru untuk tulisan Zuraidah Othman. Zaman kami bersekolah, CESB adalah antara penerbit novel yang kami pilih untuk bahan bacaan. Zuraidah Othman, antara penulis kegemaran.

Lambakan majalah Gila-Gila.


Akhirnya, siap membeli segala bahan bacaan. Untuk anak-anak, mereka juga suka membaca. Walaupun sekadar komik untuk yang lelaki, sekurang-kurangnya mereka berminat untuk membaca.